Tuesday, January 4, 2011

ego....ego...ego.....

"it takes a second to know someone, a
 minute to like someone, an hour to love someone but it takes the rest
 of your life to forget your love ones."

mmg betul , sokong 100%!!! 

ORANG kata, jangan benci sangat pada seseorang, kelak kita akan 
menyintainya separuh mati. Walau tidak termaktub dalam kitab, namun 
kata-kata inilah yang diperturunkan dari generasi ke generasi.Pepatah 
Inggeris pula ada menyebut, it takes a second to know someone, a
 minute to like someone, an hour to love someone but it takes the rest
 of your life to forget your love ones.



Tiada kajian saintifik membuktikan kesahihannya kerana proses 
kehidupan manusia lah yang menjadi saksi kebenaran pepatah tersebut.
Kata orang, cinta pertama sukar dilupakan walau datang cinta lain 
kemudiannya. Aku menyangkal. Perjalanan hidupku membuktikan
 sebaliknya. Tidak semua orang bertuah memiliki cinta pertama sebagai 
cinta sejati. Bagiku, cinta pertama untuk dikenang. Cinta yang datang
 kemudiannya mungkin cinta sejati ......



Kita tidak tahu bila kita akan bertemu cinta sejati kita. Mungkin
 pada cinta pertama, kedua, ketiga atau akhirnya kita menyedari bahawa 
cinta sejati kita hanyalah pada Ilahi...... Namun aku bersyukur
 kerana cinta sejatiku pada Penciptalah yang mempertemukan ku dengan 
insan yang salah dahulu sebelum menemui cinta sejatiku.



Usiaku genap 22 tahun tiga hari lepas. Aku punya kisah cinta yang 
padan dengan pepatah tersebut. Ya, kerana bencilah aku menahan rasa 
cinta separuh mati kini. Walaupun baru ku tinggalkan hampir empat
 bulan lalu, aku yakin dan percaya, cinta itulah yang akan terus ku
 kenang selamanya.



Dia, banyak mengajarku bidang ilmu yang ku cintai, arkitektur. Dia
 dengan sinis, sering menegurku tanggungjawab dan peranan seorang 
insan. Dia, ku tinggalkan bersama kenangan. Pastilah kerana cintaku 
ini pernah bergelar pensyarahku, juga mantan suamiku.



"Saya cabar awak."
 "Saya cabar awak kahwin dengan saya sebaik saja awak habis belajar,
 which means in this three months time. It's just a challenge. If you 
aren't dare to, i bet you to tell me all the reasons why you hate me 
so much.. Well, what would you say?"



Cabarannya langsung tidak mengujakan namun ayat terakhirnya benar-
benar mencabarku. Aku terima cabarannya asalkan dia juga menyahut 
cabaranku - kecuali ketika upacara membatalkan wuduk di majlis akad 
nikah, aku mencabarnya agar tidak langsung menyentuhku. Saat dia
 menyentuhku, talak jatuh ke atasku.



Dengan wajah selamba dan senyuman sinis, dia menyahut cabaranku.
Termeterailah perjanjian kami malam itu bersaksikan rakan-rakanku. 
Gila!!! Lawatan akademik yang paling menyayat hati. Rakan-rakan
 menghakimi perbuatanku. Pelbagai pertanyaan mereka lontarkan. Pulang 
dari Bali dan kembali meneruskan pengajian, saban hari mereka 
memujukku melepaskan cabaran. Asal saja Encik Zhafran mengajar, 
suasana janggal. Kerap dia menghasutku dengan sinis supaya melepaskan 
cabarannya.



Lemas, kadangkala berasa hampir tewas namun janji tetap janji. Aku
 mahu lebih tabah, lebih kuat. Cukuplah kisah lama. Hakikatnya aku 
tidak tahu salahku hingga begitu sekali dia membenciku. Aku hanya
 insan biasa dengan rutin hidup normal, suka mengelamun dan tiada 
keistimewaan lain.

Seingatku, hari pertama semester ketiga, dia hadir memperkenalkan 
diri sebagai Encik Zhafran, mengajar reka bentuk seni bina. Panggilan
 formal dan santai, Sir Zhafran. Satu tabiatnya, setiap kali dia 
bertanya ya atau tidak, kami perlu menjawab, "Yes sir!" atau "No
Sir!" dengan tegas. Aneh.. Entah mengapa, setiap kali dia menyebut 
namaku, Aisyah, aku rasa menyampah.



Walaupun begitu, aku tetap menghormatinya. Dia prihatin dengan
 kerjaku, tidak pernah sekalipun dia mungkir singgah di mejaku ketika 
sesi tutorial. Komennya yang tegas dan membina menyenangkanku.
 Realitinya, dia juga penyumbang kepada kejayaanku beroleh A dalam 
subjek tersebut. Untuk itu, aku amat berterima kasih.



Entah mana silapnya, sikap ramah dan prihatinnya terhadapku cuma 
bertahan satu semester sahaja. Menginjak ke semester keempat, ada
 saja sikap dan perbuatanku yang tidak kena di matanya. Sesi tutorial,
 dia tidak lagi singgah di mejaku. Sesi pembentangan, dia jarang 
menumpukan perhatian namun banyak pula komen dan sindirannya.
Kadangkala, terasa seperti diaibkan.



Rakan-rakan menyuruhku bersabar. Mereka juga hairan dengan perubahan 
tingkahnya terhadapku. Aku muhasabah diri, mencari khilaf yang
mungkin menggurisnya. Namun aku buntu. Perasaanku yang sedih dengan
 perlakuannya bertukar benci lalu aku juga bersikap dingin terhadapnya.



Benar, kebencian bernanah andai kita tidak merawatnya. Setahun 
dibiar, akhirnya 'nanah' itu pecah lalu terluahlah segala kebencian.
Malam persembahan kebudayaan Malaysia - Bali menjadi saksi kebencian 
kami yang akhirnya bertukar tragedi. Dalam amarah, kami saling 
mencabar disaksikan rakan-rakan. Aku akan pastikan kemenangan milikku.



Menghormati syariat dan adat, dia melakukan semua yang sepatutnya
 menghantar rombongan dan merancang majlis. Ibu tergamam tatkala 
cincin emas dihulurkan Datin Afifah. Bila ditanya, tenang saja kami
 menjawab, dah jodoh. Kami memang pandai berlakon, mesra dan ramah di
khalayak ramai.



Rabu, peperiksaan akhir tamat. Sabtu, hari 'bahagiaku' menjelang. 
Majlis akad nikah bersekali resepsi disambut meriah. Tidak henti-
henti aku menguntum senyum 'bahagia'. Pastilah, sebentar nanti aku 
akan memenangi cabaran ini.. Hatiku ketawa puas.



Selepas Zuhur, bersaksikan seluruh ahli keluarga, pensyarah dan rakan-
rakan, kami di ijabkabul. Saat bertentang mata dengannya dan menguntum 
senyum, aku sayu.



Walaupun sekadar permainan, akhirnya aku bergelar isteri. Bodohkah 
aku? Cabaran bertukar tangan. Kehidupan kami unik. Tiada bulan madu.
Di kondonya, kami tinggal berlainan bilik. Dingin dan terasing. Tiada
 interaksi yang kerap, bertegur sekadar bertanya perkara yang patut,
 mengejutkan Subuh atau saling menyindir. Makan biasanya asing, dia di
 dapur dan aku di hadapan televisyen ..... Aku menjalani kehidupan 
yang bahagia sepanjang menyiapkan tesis akhir pengajian 
bersama 'suamiku'. Dia juga berpegang pada janji. Aku rasa selamat
 walau tidak mengunci pintu bilik di malam hari. 



Keadaannya yang demam teruk satu pagi sebulan selepas pernikahan kami
 menyedarkanku. . Dalam demam dan batuk, dia berkeras tidak
 mengizinkanku menyentuhnya, bimbang nanti jatuh talak. Gila aku 
dibuatnya. Ku tegaskan sekali lagi syarat cabaran, hanya dia yang
tidak boleh menyentuhku, bukan aku. Selama tiga hari menjaganya, aku
 menyediakan makanan, menyuapkan ubat, menuam dahinya, mengelap 
badannya malah menemankannya hingga tidur. Kami cuma diam, kadangkala 
aku perasan genangan air matanya. Sepanjang itu dia berusaha tidak 
menyentuhku. Betapa dia berpegang pada janji. Aku bungkam. Mengapa?



Selepas dia pulih, kehidupan kami kembali normal. Runsing dengan 
sikapnya dan tertekan menyiapkan tesis, fikiran dan kesihatanku 
terganggu. Walaupun demam, aku nekad menyudahkannya. Gagal. Panas 
badan menghentikanku. Tinggal beberapa muka lagi ketika aku tertidur 
di depan komputer pukul empat pagi.. Jam satu petang terjaga, aku
 panik. Komputerku ditutup. Pandanganku menangkap tiga buah buku 
berkulit keras siap dijilid dengan namaku di atasnya. Ku semak hingga
 helaian terakhir. Itu tesisku! Semua fakta dan hujah yang ku lakarkan 
disampaikan dengan terperinci, padat dan lengkap dengan
 gambarajah ... Sebahagiannya bukan kerjaku, pasti kerja dia.



Maaf saya siapkan, takut awak tak sempat hantar sebelum pukul 5.
 Jangan risau, saya bukan pensyarah penilai. Makanan dah disediakan,
 makanlah. Kalau tak larat drive, call me, i'll fetch you. I'm half
day today. So then, take care. Again, sorry.
 -Zhafran-



Nota kecil tersebut membuatkanku terjelepok ke lantai. Aku menangis,
 meraung kecil. Geram dan menyampah, sebal. Cukuplah! Tiga bulan 
sebumbung dengannya, aku tidak sanggup berpura-pura lagi. Aku perlu 
segera keluar dari rumahnya dan hilang daripada pandangannya. Aku tak 
mampu terus bersamanya. Aku nekad menerima tawaran belajar ke 
Glasgow.



Tanpa perasaan, ku nyatakan hasrat dan minta dia melepaskanku dengan
 alasan aku ingin mencari cinta pertamaku. Lama dia diam, kemudian 
mengangguk dan berlalu. Ibu bapaku hanya ku beritahu tentang hasrat 
menyambung pengajian.



Lapangan terbang menyaksikan pertemuan dan perpisahan. Di sini juga 
ada ketawa dan air mata. Dan malam itu, aku ditemani keluarga dan
 Zhafran. Dia banyak mendiamkan diri, sekali-sekali melayan adik-
adikku dan tersenyum memandangku.



Saat perpisahan, aku menyalami seluruh ahli keluargaku. Sampai
 giliran Zhafran, keluargaku menjauh. Hanya aku dan dia. Tiba-tiba, 
dia menyentuhku, menarik tanganku bersalam dengannya. Hatiku luruh.
 Perlahan-lahan ku tunduk mencium tangannya. Air mataku bergenang.
 Bangkit semula, dia mencium dahiku lama. Dengan perlahan, dia
 berbisik, "Saya lepaskan awak. Carilah cinta awak. Saya doakan awak 
bahagia."



Lambaian terakhirku pada mereka disertai deraian air mata yang deras
 mengalir. Aku sebak, amat. Hingga mereka hilang daripada pandangan,
aku hanya nampak Zhafran dan senyuman ikhlasnya. Aku menangis dan
 menangis. Aku mengerti segala yang berlaku, aku yang memintanya. 
Namun hatiku benar-benar pedih.



Tamatlah cabaran, perjanjian dan hubungan kami. Tapi aku pasti, 
sesuatu telah lama lahir dalam hatiku. Sebelum berlepas, nombor
 Zhafran ku dail. Lama baru ku dengar suaranya. Hatiku pedih.



"Kita kalah. Tapi saya kalah teruk bila awak tak tanya alasan 
membenci awak." Sir, i hate you. I have to since i realized that i've 
fallen into you the second you call out my name years ago and i can't
 believed it. "Saya bukan gadis suci. Memang saya masih dara tapi
 Ashraf dah terlalu banyak menyentuh saya. Saya kesal dan saya 
bertaubat. Tapi saya rasa jijik, benci diri sendiri. Saya tak layak 
untuk sesiapa. Untuk itu, saya tak sanggup menyintai awak. Lepas
 kahwin, saya semakin membenci diri kerana saya sedar awak sayangkan
 saya. Tapi saya tak layak untuk awak!" Aku teresak. "I'm sorry i love
 you sir. But i'm so sorry i can't love you. Take care."




***************************************


Cintaku berakhir di situ. Di bumi Inggeris ini, aku belajar mengubati
 hati, menyibukkan diri dengan tugasan dan kuliah. Aku jumpa Ashraf, 
dia sudah berubah, juga minta ku kembali padanya. Maaf, hatiku bukan 
lagi untuknya. Sesekali ingatanku melayang mengenang Zhafran.
 Kadangkala termimpikannya dan apabila sedar, aku menangis.



Sejak di KLIA, kami sudah tidak berhubung. Mungkin dia juga 
sepertiku, ingin melupakan satu sama lain dan memulakan hidup baru.
 Melupakan? Semakin ku berusaha, semakin ku sedari betapa ku 
merinduinya.



Petang Khamis itu, aku bersiap ke masjid untuk bacaan Yassin. Musim 
luruh yang nyaman menenangkan hatiku tatkala menyusuri jalan.
Pemandangan hijau dan lautan langit biru mengasyikkanku. Bam! 
Berpinar kepalaku terlanggar tiang lampu di tepi kawasan masjid. Dahi
ku gosok, cuba mengesan sebarang perubahan.



"Langsung tak berubah, suka mengelamun."



Aku tersentak lalu berpaling ke arah suara itu. Wajah yang ku rindui
 itu kini di hadapanku, sedikit cengkung.

"Ikut saya." Zhafran terus menarik lenganku dan mengheretku ke pintu 
masjid. Agak ramai orang di dewan utama. Dia berpusing memandangku.
Matanya menjilat wajahku lama. Aku diam, berdebar.



"Saya tahu awak ada banyak soalan tapi kita boleh cerita nanti. 
Sekarang ni, saya nak kita masuk dalam dan nikah semula.

"

Jantungku seolah terhenti. Ku tatapnya dalam. Tanpa sedar aku menapak 
selangkah ke belakang. Dia menghela nafas.

"Aisyah, awak tahu tak 
saya dah lama sayangkan awak?"


"Setiap kali saya panggil nama awak, hati saya berdebar. Saya rasa 
bersalah, saya tak patut jatuh cinta pada pelajar sendiri. Sebab
 itulah saya dingin terhadap awak untuk mengurangkan rasa bersalah 
saya. Tapi tak sangka perbuatan saya menyusahkan hingga awak membenci 
saya. Malam tu di Bali , sebenarnya saya melamar awak takut-takut. 
Tapi lain pula jadinya." Aku tergamam dengan penjelasannya. 



"Semua orang buat kesilapan Aisyah, saya pun. Tapi yang penting ialah 
cara kita menanganinya, siapa kita pada hari ini dan apa kita nak 
jadi nanti. Kisah silam awak langsung tak mencacatkan perasaan saya 
terhadap awak."
Dia berhenti. 

"Sebulan saya di sini mencari awak, mengikuti rutin harian awak,
 memandang awak dari jauh. Saya tunggu awak habis edah. Saya tak nak 
rujuk, nanti kena sambung cabaran dulu. Saya nak nikah semula dengan 
awak, saya nak awak jadi isteri saya semula."

Matanya bergenang.

"Saya bukan malaikat. Tak ada satu ketika pun saya 
tak rasa nak sentuh awak. Bila awak tidur, saya masuk bilik tengok 
awak. Saya teringin usap awak, teman awak tidur. Saya geram tengok 
awak ketawa depan TV. Dulu masa awak jaga saya, saya rasa susah 
sangat. Saya sedih kenapa kita jadi macam tu."


Terdengar esakan..

"Aisyah, i need you, i love you so much. I can't
 be apart from you anymore. Will you take your stupid ex-hubby as your 
real husband again?"




Terlalu pantas dan mengejutkan. Sebak dan terharu. Lidahku kelu, air
 mataku sedari tadi tidak berhenti. Lama ku terdiam, cuba mencerna kata-
katanya.

"

Aisyah, yes or no?" Lamunanku tersentak.

"Yes sir! I do!"



Opss! Dia senyum. Aku tunduk malu.



Orang kata, jika kita cintakan seseorang, bebaskan dia. Jika dia
 kembali, maknanya dia memang tercipta untuk kita. Aku melepaskan
 Zhafran namun dia kembali semula padaku. Dia menyedarkanku bahawa
 kita tidak boleh pilih dengan siapa kita hendak jatuh cinta. Dia
 membuatkan aku yakin pada diriku.. Banyak perubahan berlaku padaku 
sepanjang mengenalinya. Dia membuatkan aku percaya, sesiapa jua 
berhak untuk bahagia kerana bahagia diusahakan oleh kita sendiri.



Luahkan hasrat dan impian kita dengan ikhlas dan berusaha 
memperolehinya ..... Tiada doa yang tidak didengar, tiada usaha yang
 disia-siakan. Percaya pada diri dan hati kita. Cintailah diri dan
 cintailah segala yang kita ada, jangan persiakannya. Oleh itu,
 Zhafran, terima kasih untuk segalanya.

"

Aisyah sayang, where are you dear? Come here honey, i need your
 help." 
"Yes sir!!"



sekian.

~ E . N . D ~

0 comments:

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP